Perhatian kepada semua pengunjung blog kem ini

Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia. Selamat Datang di ucapkan kepada semua pengunjung laman blog Kem PLKN Tangkas Kendiri Kuala kangsar. Blog kem ini diwujudkan untuk memberi input-input berkaitan Program Latihan Khidmat Negara. Untuk makluman, kem ini telah telah beroperasi sejak tahun 2009 hingga kini telah melaksanakan latihan kepada 6 kumpulan yang mana setiap siri pengambilan dilaksanakan sebanyak 3 kumpulan yang disertai seramai hampir 1200 peserta bagi tiap siri / tahun pengambilan dan segala maklumat yang telah dikongsi dan dipaparkan disini adalah terhad dan sekadar untuk pengetahuan umum sahaja.sekian terima kasih - blogger tangkas kendiri

Akta Latihan Khidmat Negara 2003

Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) (Pindaan) 2009 (A1354)

Pendahuluan

  1. Bagi maksud melaksanakan Program Khidmat Negara ini satu akta baru yang dinamakan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 telah digubal yang bertujuan untuk membolehkan pendaftaran dan kehadiran seseorang itu diwajibkan.

Pengisytiharan

  1. Kewajipan bagi warga Malaysia mengikuti latihan ini tertakluk kepada pengisytiharan yang dibuat oleh Yang Di Pertuan Agong yang menetapkan had umur tertentu. Dalam akta ini had umur yang ditetapkan ialah bagi mereka yang berumur tidak kurang 16 tahun dan tidak melebihi 35 tahun yang diwajibkan mengikuti Program Khidmat Negara.

  2. Akta ini juga memberi ruang pengecualian bagi sebab-sebab tertentu. Bagi maksud pengecualian dari mengikuti latihan ini, Menteri melalui warta boleh mengecualikan seseorang atau kategori seseorang daripada pelaksanaan akta ini.

Majlis Latihan Khidmat Negara

  1. Majlis Latihan Khidmat Negara ini akan melaksanakan fungsinya sebagaimana yang dianugerahkan oleh akta dan bertanggungjawab untuk menasihatkan Menteri dalam semua perkara berhubung Latihan Khidmat Negara. Menteri juga dari masa ke semasa akan memberi arahan dan menjadi tanggungjawab Majlis untuk mematuhinya.

  2. Ahli-ahli Majlis ini dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong atas saranan Menteri.

a. Seorang Pengerusi.

b. Ahli tidak melebihi 10 orang iaitu 5 ahli mewakili kerajaan dan tidak kurang dari 3 atau tidak lebih dari 5
ahli mewakili kumpulan etnik utama di Malaysia.

c. Perlantikan ahli-ahli adalah untuk tiga tahun dan boleh dilantik semula.

Jabatan Latihan Khidmat Negara

  1. Ketua Pengarah yang akan dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong atas saranan Menteri. Sementara itu bagi jawatan Timbalan Ketua Pengarah dan lain-lain pegawai adalah berada di bawah kuasa lantikan oleh Menteri.

Latihan Khidmat Negara dan Hukuman

  1. Melalui akta ini Menteri diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan yang menghendaki semua atau sebarang kategori peserta yang perlu menghadiri latihan khidmat negara.

  2. Akta ini memperuntukkan hukuman yang akan dikenakan ke atas seseorang yang telah dipanggil untuk latihan tetapi gagal menghadirkan diri. Sekiranya seseorang itu disabitkan kesalahan ia hendaklah diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

  3. Seseorang yang melakukan kesalahan dengan meninggalkan latihan tanpa kebenaran dan jika disabitkan kesalahan ianya hendaklah diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

  4. Mana-mana orang yang menghasut, berhasrat menghasut, menyebabkan atau cuba menyebabkan seseorang untuk meninggalkan latihan tanpa kebenaran, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM 3000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.

  5. Bagi seseorang yang sedang menjalani latihan khidmat negara yang memujuk, berikhtiar untuk memujuk, menyebabkan atau cuba menyebabkan seseorang meninggalkan latihan tanpa kebenaran, jika disabitkan kesalahan hendaklah diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

Penangguhan Mengikuti Latihan

  1. Menteri boleh membuat peraturan bagi membolehkan seseorang itu memohon penangguhan dari mengikuti latihan. Seseorang itu boleh memohon kepada pihak berkuasa satu sijil penangguhan tersebut. Manakala itu, sebarang rayuan untuk menangguhkan latihan hanya boleh diputuskan oleh Majlis Latihan Khidmat Negara.

Cuti Dari Pekerjaan

  1. Bagi mengelakkan gangguan atau kehadiran peserta terhalang, maka akta ini menetapkan tanggungjawab majikan untuk membenarkan pekerjanya mengikuti Latihan Khidmat Negara. Pekerja terlibat akan menikmati semua gajinya dan lain-lain imbuhan atau cuti tahunan untuk tidak lebih 30 hari semasa mengikuti latihan.

  2. Majikan yang secara langsung atau tidak langsung, enggan membenarkan cuti atau melanggar perkara di atas adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak kurang dua kali ganda bayaran atau imbuhan yang sepatutnya diterima oleh seseorang yang dipanggil untuk latihan atau penjara tidak lebih 2 bulan atau kedua-duanya.

Perlantikan Jurulatih

  1. Menteri boleh melantik jurulatih-jurulatih yang terdiri dari pegawai awam atau pegawai badan berkanun dan mana-mana individu untuk menjadi jurulatih. Jangkamasa dan syarat perkhidmatan jurulatih akan ditentukan oleh Menteri. Adalah menjadi tanggungjawab bagi seseorang itu untuk mematuhi arahan Menteri untuk menjadi jurulatih dan sebarang keingkaran akan disabit kesalahan dan boleh dihukum.

Pelbagai

  1. Seseorang adalah dianggap melakukan kesalahan apabila menyebabkan kecederaan atau kecacatan atau memberikan dadah kepada seseorang yang bertanggungan menjalani latihan khidmat negara dengan niat menjadikannya tidak upaya dari mengikuti latihan. Ini termasuk membuat kenyataan palsu mengenai keadaan kesihatan seseorang. Seseorang yang disabit kesalahannya boleh dipenjara untuk selama tidak melebihi 10 tahun.

  2. Mana- mana orang yang bertanggungan menjalani latihan khidmat negara yang mencacatkan atau mencederakan dirinya atau memberi dadah kepada dirinya sendiri dengan niat menjadikannya tidak upaya dari mengikuti latihan juga melakukan kesalahan. Mana- mana orang yang disabit kesalahannya boleh diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

  3. Seseorang yang memberi kenyataan palsu atau mempunyai dokumen menyerupai dengan niat menipu melakukan kesalahan dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya. Manakala hukuman bagi mana- mana orang yang bertanggungan menjalani latihan khidmat negara yang sabit kesalahan yang sama hendaklah diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

  4. Seseorang yang disabitkan atas kesalahan cuba melakukan atau membantu melakukan sebarang kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan tersebut.

  5. Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah akta ini yang mana tiada denda disebut secara jelas hendaklah atas sabitan kesalahannya didenda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 3 bulan atau kedua-duanya. Manakala hukuman bagi mana- mana orang yang bertanggungan menjalani latihan khidmat negara yang mana tiada denda disebut secara jelas serta sabit kesalahan yang sama hendaklah diperintahkan untuk melaksanakan khidmat masyarakat.

  6. Yang Di Pertuan Agong boleh membuat peraturan untuk menetapkan apa- apa jua yang boleh ditetapkan di bawah Akta ini dan menjelaskan sebarang pelaksanaan peruntukan- peruntukan Akta ini.


P.U. (A) 445.

PROKLAMASI

OLEH SERI PADUKA BAGINDA YANG
DI-PERTUAN AGONG,
DENGAN KURNIA ALLAH, KETUA UTAMA NEGARA
BAGI NEGERI-NEGERI DAN WILAYAH-WILAYAH
MALAYSIA

TUANKU SYED SIRAJUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Yang di-Pertuan Agong

BAHAWASANYA seksyen 3 Akta Latihan Khidmat Negara 2003 [Akta 628], memperuntukkan bahawa BETA boleh dari semasa ke semasa, melalui proklamasi, mengarahkan bahawa, melainkan jika Akta itu memperuntukkan selainnya, tiap-tiap orang yang-

(a) pada tarikh proklamasi ini, telah mencapai umur yang ditentukan dalam proklamasi ini, yang tidak kurang daripada enam belas tahun, tetapi belum mencapai umur yang ditentukan dalam proklamasi ini, yang tidak lebih daripada tiga puluh lima tahun; dan
(b) merupakan warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia,

hendaklah bertanggungan untuk menjalani Latihan Khidmat Negara di bawah Akta itu.

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, TUANKU SYED SIRAJUDDIN PUTRA JAMALULLAIL , dengan Kurnia Allah, Yang di-Pertuan Agong bagi Negeri-Negeri dan Wilayah-Wilayah Malaysia, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA sebagaimana yang tersebut di atas, membuat proklamasi yang berikut:

“Semua warganegara Malaysia yang, pada tarikh proklamasi ini, telah mencapai umur enam belas tahun dan sebelas bulan tetapi belum mencapai umur lapan belas tahun diarahkan hendaklah bertanggungan untuk menjalani latihan khidmat negara di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003.”.

DIPERBUAT di Istana Negara Beta di Kuala Lumpur, Ibu Kota Persekutuan, pada satu hari bulan Disember, dua ribu tiga.

[KP/JLKN/(UPKN)(R)17/847/39; PN(PU2)635]

Dengan Titah Perintah Baginda

DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
Menteri Pertahanan


P.U. (A) 446.

AKTA LATIHAN KHIDMAT NEGARA 2003

PERINTAH LATIHAN KHIDMAT NEGARA (ORANG YANG DIKEHENDAKI MENJALANI LATIHAN KHIDMAT NEGARA) 2003

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 16 Akta Latihan Khidmat Negara 2003 [ Akta 628 ], Menteri membuat perintah yang berikut:

Nama dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Perintah ini bolehlah dinamakan Perintah Latihan Khidmat Negara (Orang Yang Dikehendaki Menjalani Latihan Khidmat Negara) 2003.

(2) Perintah ini mula berkuat kuasa pada 8 Disember 2003.

Orang Yang Dikehendaki Menjalani Latihan Khidmat Negara

2. Orang yang bertanggungan untuk menjalani Latihan Khidmat Negara oleh sebab proklamasi yang dibuat di bawah seksyen 3 Akta, yang dilahirkan dalam tabun 1986 dan telah dipilih melalui sistem pemilihan komputer dikehendaki untuk menjalani Latihan Khidmat Negara.

Dibuat 4 Disember 2003

[KP/JKLN(UPKN)(R)17/847; PN(PU2)635]

DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
Menteri Pertahanan


P .U. (B) 355.

AKTA LATIHAN KHIDMAT NEGARA 2003

PEMBERITAHUAN PENGECUALIAN DI BAWAH SUBSEKSYEN 4(1)

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 4(1) Akta Latihan Khidmat Negara 2003 [ Akta 628 ], Menteri mengecualikan kategori orang yang dinyatakan dalam Jadual daripada kuat kuasa Akta.

JADUAL

  1. Orang bercelaru mental di bawah Ordinan Kecelaruan Mental 1952 [ Ord. 31/1952 ], pesakit mental di bawah Ordinan Kesihatan Mental (Sarawak) 1961 [ Ord. Sarawak 16/1961 ] atau orang gila di bawah Ordinan Orang Gila (Sabah) 1951 [ Bab 74 Sabah ].
  • Orang yang telah diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan mengalarni kecacatan fizikal yang menyebabkan dia tidak berupaya menjalani latihan khidmat negara.
  • Orang yang menjalani hukuman pemenjaraan.
  • Orang yang menjalani tahanan di bawah mana-mana undang-undang yang pada masa ini berkuat kuasa yang berhubungan dengan tahanan pencegahan.
  • Orang yang menjalani rawatan dan pemulihan atau yang menjalani jagaan lanjutan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [ Akta 283 ].
  • Orang yang menjalani tahanan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [ Akta 612 ].
  • Orang yang telah diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan menghidapi penyakit yang boleh membawa maut.
  • Orang yang telah diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan menghidapi penyakit berjangkit di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [ Akta 342 ].
  • Bertarikh 22 November 2003

    [KP/JLKN(UPKN)(R)17/847/39; PN(PU2)635]

    DATO’ SRI MOHD. NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
    Menteri Pertahanan





    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan